BULETIN ONLINE (HOME) 

Bil 6     Disember'99

Ramadhan/Syawal 1420H

Mimbar Al-Syumul | Kesahihan Hadith Tentang Kesahihan Sembahyang Tarawikh

MAKLUMAN

1. ZAKAT FITRAH

Kepada sekalian jamaah kariah Bandar Rinching, bayaran Zakat Fitrah pada tahun ini boleh dibayar kepada Ustaz Kamarudin Salleh (Imam Surau Al-Syumul) selepas solat Tarawih pada setiap malam bertempat di Surau Al-Syumul.
Kadar bayaran ialah RM 3.70.

2. IBADAH KORBAN

Pihak AJK Surau Al-Syumul akan mengadakan Ibadah Korban untuk tahun 1421H.

Satu bahagian RM 250.00.

Kepada sesiapa yang berminat sila hubungi :

1. Cikgu Mohd Thani (8131513)
2. Cikgu Mohamad Abdullah (8139039).
( Terhad kepada 2 ekor sahaja)

3. DERMA ANAK YATIM

Kepada sekalian jamaah kariah Bandar Rinching yang bermurah hati dan ingin menderma untuk anak-anak yatim sumbangan bolehlah diserahkan kepada

YM Raja Zazman atau Cikgu Kamalulail (AJK Surau).

mimbar
Assalamualaikum w.b.t.
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati dan dilindungi oleh Allah, khususnya jamaah kariah Bandar Rinching.
mimbar.gif (6137 bytes)


Ramadhan al-Mubarak tiba lagi dan disambut dengan penuh rasa gembira dan kesyukuran oleh para muslimin yang merindui dan menanti kedatangannya, sebagaimana Rasulullah s.a.w. pernah menyebutkan yang ia menangis gembira menunggu akan kedatangan atau ketibaan Ramadhan pada awalnya dan menangis kali kedua pada akhir Ramadhan kerana sedih bulan yang amat berkat dan penuh ganjaran ini akan meninggalkannya. Rasulullah s.a.w. menangis bukan kerana apa, beliau takut dan risau sekiranya tidak dapat lagi menyambut ketibaan Ramadhan yang ke seterusnya (mungkin beliau akan mati). Ganjaran pahala yang besar ini bersesuaian dengan umur umat nabi Muhammad s.a.w. yang lebih pendek berbanding dengan umat-umat dahulu yang lebih panjang umurnya. 

Jadi berbalik kepada kita sebagai umat Islam, apakah dalam hati kecil, naluri sebenar kita (yang tidak mungkin dapat menipu hakikat sebenar) kita merasai hal yang sedemikian sebagaimana yang dirasai oleh Rasulullah s.a.w. atau pun kita sebaliknya mempunyai perasaan yang bertentangan iaitu, merasa cukup sedih dan berat hati dengan kedatangan bulan Ramadhan sama ada kerana terpaksa berpuasa dari makan dan minum atau malamnya terpaksa menunaikan solat tarawih, dan gembira pula apabila Ramadhan menuju kepengakhirannya dan akan menyambut Syawal dan bersyukur kerana sudah selesai satu bebanan yang dirasakan maha berat. Sekiranya perasaan tersebut muncul dan menguasai diri kita amat malanglah orang yang sedemikian kerana ia sudah pun menyalahi sunnah yang Rasulullah s.a.w. tinggalkan kepada kita semua.

Alhamdulilah, suasana berpuasa dan menunaikan solat tarawih pada awal bulan Ramadhan di tempat kita ini begitu meriah sekali, dengan diikuti aktiviti lain seperti bertahlil serta bermoreh. Kedatangan jamaah juga amat memberangsangkan sehingga penuh surau kita ini. Harapannya agar situasi ini dapat dikekalkan sehinggalah kepada akhir Ramadhan. Kita tidak mahu melakukan sesuatu yang songsang sekali lagi iaitu meramaikan surau dan masjid pada awal Ramadhan dan mengurangkannya pada akhir, sedangkan kita amat dituntut melipatgandakan amalan dan berusaha secara lebih kuat seperti bertadarus, bertahajjud, berqiyamulail, khususnya pada malam sepuluh terakhir bulan Ramadhan kerana ganjaran pahalanya yang begitu besar. 

Sekian sahaja dari Mimbar Al-Syumul. Selamat Berpuasa dan Menyambut Hari Raya Aidil Fitri Maaf Zahir dan Batin dari Pihak Surau untuk semua. 

Sekian Wassalam.

 

PENTING !!! KHAIRAT KEMATIAN

Badan Khairat Kematian Surau Al-Syumul mengharapkan para penduduk yang menyertainya agar dapat menyemak semula keahlian mereka (Yuran Khairat) mulai sekarang.

Kepada yang belum menyertainya penyertaan tuan-tuan adalah sangat dialu-alukan. Sila hubungi AJK Badan Khairat Kematian Surau Al-Syumul
(Cikgu Mohamad-8139039) untuk keterangan lanjut.


Mimbar Al-Syumul | Kesahihan Hadith Tentang Kesahihan Sembahyang Tarawikh | Kembali ke atas

 

sahih
Kesahihan Hadith Kelebihan Sembahyang Tarawikh di Bulan Ramadhan.

Sudah lama saya terfikir untuk membincangkan tentang kesahihan hadith yang menonjolkan kelebihan atau fadhilat sembahnyang tarawikh pada malam-malam di bulan Ramadhan, bermula daripada satu Ramadhan sehinggalah kepada 29 atau 30 Ramadhan. Perkara ini sebenarnya telah banyak kali saya utarakan di dalam bilik kuliah dan tutorial kepada pelajar-pelajar saya untuk berfikir dan mengkajinya, khususnya menyentuh kesahihan dan kebenaran hadith tersebut. Malangnya perkara ini hanya terhenti di situ sahaja tanpa ada usaha lanjut menyelidiknya.

Oleh kerana, beberapa tahun kebelakangan ini media massa di Malaysia sama ada yang bercetak atau yang berelektronik dan dalam berba gai bentuk membuat liputan yang begitu meluas tentang fadhilat tersebut, wajar rasanya untuk saya membincangkan perkara secara terbuka
Kelebihan-kelebihan yang dinyatakan tersebut mungkin bertujuan untuk mengalakkan umat Islam lebih rajin beramal dan beribadat pada bulan Ramadhan yang mulia ini. Hadith yang dimaksudkan ialah sebuah hadith yang panjang dan kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut:

Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah
bersabda berkenaan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya; Malam Pertama, keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala). Malam Keenam, Allah kurniakan pahala kepadanya, pahala malaikat-malaikat tawaf di Baitul Ma'mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta batu batan dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang ta rawih pada malam ini. Malam Kesembilan, Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad s.a.w. dan kelebihan-kelebihan lain lagi yang saya rasa tidak perlu dinyatakan satu persatu.
Memetik kenyataan Risalah yang diterbitkan oleh Darul Quran Was-Sunnah, setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanah air tentang kedudukan hadith ini, dari manakah ia diambil, semuanya tidak dapat memberi penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadith seperti enam kitab hadith utama (Sunan Sittah) dan lain-lain kitab hadith lagi, ianya tidak ditemui. Ini menunjukkan bahawa hadith ini merupakan satu hadith baru yang diada-adakan (palsu) sehingga ulama-ulama hadith yang dahulu yang menulis tentang hadith maudu' pun tidak mengetahui akan wujudnya hadith ini. Persoalannya, kalau begitulah kedudukannya hadith tadi kenapakah ianya dibiarkan tersebar dan tidak ada usaha untuk menjelaskan hakikat sebenar hadith ini dan jangan diperbesar-besarkan.

Tujuan saya membongkarkan perkara ini bukanlah bermakna untuk menafikan atau menolak kelebihan sembahynag tarawih dan kedudukannya dalam Sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengannya dan terlalu mengharap akan kelebihan-kelebihan itu dan dikhuatiri boleh menimbulkan perkara negatif dengan andaian, sudah mencukupi melakukan amalan sembahyang tarawikh di bulan Ramadhan sahaja dan mengabaikan ibadat-ibadat lain pada waktu selepas dari bulan Ramadhan. Perkara ini mungkin ada kebenaran, sekiranya kita lihat kepada kecenderungan ibadat yang dilakukan oleh umat Islam sekarang yang hadir begitu ramai untuk mengerjakan ibadat pada bulan Ramadhan sahaja sehingga penuh sesak masjid, surau dan madrasah. Tetapi malangnya tempat-tempat tadi kembali sepi dan sunyi selepas berakhirnya Ramadhan.

Keduanya penyebaran hadith-hadith palsu boleh mencemarkan kesucian hadith Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dan dijaga dengan baik oleh ulama-ulama zaman silam. kenyataannya juga Rasulullah s.a.w. memberikan amaran terhadap orang yang mendustakannya, khususnya menerusi
menyandarkan sesuatu perkara kepada nama Rasullah s.a.w. sedangkan ianya tidak pernah dituturkan oleh Rasulullah s.a.w. pun. Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Barangsiapa yang melakukan pendustaan ke atas aku dengan sengaja (iaitu mengatakan sesuatu yang tidak akau katakan) maka hendaklah dia menyediakan tempatnya di dalam neraka.

Ketiganya apakah kita merasa tidak cukup dengan janji-janji Allah menerusi hadith Rasulullah s.a.w. yang lain yang diketahui sahih menyentuh kelebihan orang yang menghidupkan malam-malam Ramadhan untuk mengalakkan dan mendorong kita mengajar kelebihan dan pahala yang akan dikurniakan nanti seperti hadith Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Sesiapa yang puasa da menghidupkan malam Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah, maka diampunkan dosa-dosanya yang lalu.

Dan hadith yang menyebutkan bahawa pada bulan Ramadhan itu awal bulannya Rahmat, pertenghan bulannya Keampunan dan akhir bulannya Kebebasan dari api neraka.

Dan seterusnya di dalam surah Al-Qadr, secara jelas kenyatakan kelebihan malam Al-Qadr yang pahalanya melebihi seribu bulan bagi orang yang menunaikan ibadat pada waktu jatuhnya malam Al-Qadr itu yang ianya berlaku pada bulan Ramadhan.

Keempatnya, untuk kita menghidupkan malam Ramadhan itu, tidak semestinya dengan mengada-ada atau mereka-reka hadith palsu, barulah untuk
seseorang itu bersungguh. Alasannya ialah bagi yang malas dan tidak ada
kesedaran, walau sebesar mana janjian pahala tidak begitu menarik minat
untuknya melakukan ibadat tersebut. Dan begitulah juga sebaliknya walau
sebesar dan seperit mana balasan seksa bagi orang yang meninggalkan
ibadat wajib atau melakukan perkara haram tidak diendahkan juga oleh
kalangan ini.

Kelimanya, satu hal yang perlu disedari oleh kaum Muslimin sekalian
ialah tidak ada ibadah sunat seperti sembahyang tarawih yang kita lakukan ini akan dapat mengatasi atau melebihi dari sudut ganjaran pahalanya daripada menunaikan ibadah wajib yang difardhukan oleh Allah s.w.t. kepada kita. Oleh itu janganlah kita terpengaruh sangat dengan kenyataan-kenyataan kelebihan itu. Di samping perlu kita fikirkan selalu
ialah jangan sampai kita meninggalkan yang wajib, contoh ada kalangan
kita yang sibuk menunaikan ibadah puasa dan menghidupkan malam ramadhan dengan sembahyang tarawih sedangkan dalam masa yang sama sembahyang-sembahyang fardhu lain seperti zohor, subuh, asar dan lain-lain ditinggalkan begitu sahaja. Jadi apakah logik atau alasan untuk kita melakukan begini? Atau kita puasa hanya mengikut adat apabila orang ramai semua berpuasa maka kita pun berpuasa. Kesimpulannya fikirkanlah dan renungkanlah kembali amalan kita supaya setiap gerak kerja kita ini menjadi sempurna dan diterima oleh Allah secara keseluruhannya. Dan bulan Ramadhan itu sememangnya mempunyai kelebihan yang hanya Allah s.w.t. sahaja berhak membalas kelebihannya sebagaimana maksud hadith rasulullah s.a.w.: Allah berfirman : Puasa itu untukKu dan Akulah yang membalasnya.

Mimbar Al-Syumul | Kesahihan Hadith Tentang Kesahihan Sembahyang Tarawikh | Kembali ke atas

Hakcipta 2000 © Surau Al-Syumul Bandar Rinching, Semenyih, Selangor Darul Ehsan.
All rights reserved. Site by : azezul@tm.net.my

Latest update : Friday, January 26, 2001 12:51:17 PM