BULETIN ONLINE (HOME) 

Bil 5     November '99

Syaaban/Ramadhan 1420H

Mimbar Al-Syumul | Pengajaran dari peristiwa Isra' dan Mi'raj

mimbar
Assalamualaikum w.b.t.
Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah.
mimbar.gif (6137 bytes)
Mimbar Al-Syumul kali ini ingin menyingkap suatu fenomena yang agak ketara yang sedang melanda umat Islam sekarang. Penyakit yang sedang menular di tempat-tempat lain khasnya di bandar-bandar sudahpun merebak di taman perumahan kita. Apa yang dimaksudkan ialah semakin ramai wujudnya golongan yang meninggalkan SOLAT (Sembahyang). Ramai, jika kita perhatikan (sebagai contoh) masih leka berborak di luar rumah, sedangkan azan maghrib telah berkumandang. Ramai juga yang tidak menunaikan solat Jumaat, walaupun Allah meluangkan masa untuk mereka. Mereka lebih rela untuk berada di rumah walaupun jiran sebelah bersegera untuk menyahut seruan Allah itu.

Muslimin dan muslimat yang dikasihi,
Marilah kita semua menginsafi diri. Apa ertinya kita mangaku kita orang ISLAM sedangkan kita tidak solat. Ingatlah, apa yang membezakan antara seorang Islam dengan bukan Islam ialah Solat. Jika kita termasuk kalangan orang tidak bersolat maka masih belum terlambat untuk kita. Bersolatlah dan bersembahyanglah sebelum kita disembahyangkan.

Wassalam.

 

Mimbar Al-Syumul | Pengajaran dari peristiwa Isra' dan Mi'raj | Kembali ke atas

isra
PENGAJARAN DARI PERISTIWA ISRA' DAN MI'RAJ

Peristiwa Isra' dan Mi'raj yang berlaku dalam bulan Rejab mempunyai banyak pengajaran kepada umat manusia. Isra' bermakna perjalanan di malam hari yang dilalui oleh Rasulullah s.a.w. dari Makkah ke Baitul Maqdis di Palestin. Mi'raj pula bermakna pendakian dari Masjid Al-Aqsa ke langit yang pertama dan seterusnya. Allah merakamkan peristiwa Isra' ini dalam surah Al-Isra' ayat 1, bermaksud "Maha Suci (Allah) yang menjalankan hambanya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang kami berkati di sekelilingnya, supaya Kami perlihatkan kepadanya sebahagian ayat-ayat (tanda-tanda kekuasaan) Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat."

Menyentuh mengenai Mi'raj pula, Allah s.w.t. berfirman, maksudnya "Sedang dia di ufuk yang tinggi, kemudian ia hampir dan bertambah hampir, maka adalah (jaraknya dari Nabi) dua batang panah atau lebih hampir. Kemudian Dia mewahyukan kepada hambanya (Muhammad) apa-apa yang diwahyukannya. Tiadalah hatinya mendustai apa-apa yang dilihatnya. Sesungguhnya dia telah melihat (Malaikat) pada kali yang lain. Iaitu di sisi Sidratul Muntaha" (An-Najm: 7-14)

 mekah1.gif (12391 bytes)

Berdasarkan ayat-ayat di atas adalah jelas bahawa perjalanan Rasulullah s.a.w. dalam peristiwa berkenaan bukanlah suatu yang sia-sia bahkan mengandungi pengajaran yang boleh dipetik oleh kita. Ada dua hikmah penting dalam peristiwa ini iaitu memperlihatkan kekuasaan Allah dan bertemu dengan Allah untuk mnerima sendiri perintah Nya (ibadat solat). Penyaksian terhadap kekuasaan dan kebesaran Allah s.w.t. adalah merupakan proses motivasi yang paling hebat berlaku dalam sejarah hidup manusia. Kenapakah Muhammad dipilih sebagai calon program ini? Jawapan kepada soalan ini dapat dilihat dari hakikat bahawa baginda adalah seorang Rasul pilihan Allah yang berdepan dengan berbagi-bagai cabaran yang hebat dalam menyebarkan dakwah. Ramai ulama' menyatakan bahawa peristiwa Isra' dan Mi'raj berlaku sejurus selepas tahun dukacita "'Am al-Huzn", di mana Rasulullah telah kehilangan dua orang yang sering membantu dan melindunginya daripada ancaman kafir Quraisy. Mereka ialah isterinya Khadijah dan bapa saudaranya Abu Talib. Dalam keadaan keluh kesah dan sugul itulah Nabi dibawa menyaksikan kehebatan alam ciptaan Allah bagi mengukuhkan keimanan Baginda untuk menjunjung risalah Allah seterusnya. Sebelum diperjalankan, Nabi telah dibelah dada dan dibasuh hatinya dengan air zam zam, kemudian dimasukkan ke dalam dada baginda iman dan hikmah. Ini melambangkan perjalanan mendekati Allah (Taqarrub ilallah) memerlukan kebersihan rohani yang amat tinggi. Tanpa iman dan ilmu, sukar bagi kita mendekatkan diri kepada Allah s.w.t.

mekah8.gif (31820 bytes)

Keimanan kepada Allah akan diuji olehNya dengan berbagai-bagai cabaran. Peristiwa Isra' dan Mi'raj memperlihatkan 3 halangan utama yang akan menghalang umat Islam dari beriman kepada Allah s.w.t. Halangan pertama datangnya dari syaitan, di mana di malam itu Rasulullah dikejar oleh Ifrit supaya berhenti. Syaitan sentiasa berusaha menyesatkan manusia (khususnya orang-orang mukmin yang sedang menekani ibadah kepada Allah) daripada jalan Allah. Mereka akan mengganggu setiap mukmin yang bertawajjuh (menghadap) Allah. Syaitan akan menghulurkan bantuannya agar manusia tidak bergantung kepada Allah. Apabila seseorang itu terjerumus ke lembah kesesatan dan kekafiran, lalu syaitan akan melarikan dirinya. Firman Allah s.w.t. (bermaksud): " Seperti syaitan, ketika ia berkata kepada manusia: kafirlah engkau. Maka tatkala manusia itu kafir maka ia berkata: aku berlepas daripadamu, sesungguhnya aku takut kepada Allah Tuhan semesta alam." (al-Hasyr:16)

Halangan kedua datang dari golongan Yahudi dan Nasrani yang mengganggu dari kiri dan kanan Rasulullah di sepanjang perjalanan itu. Sekiranya kita meninjau perjalanan sejarah Islam, kedua-dua golongan ini jelas menentang Islam dan umatnya. Bermula dari permusuhan di Madinah, Yahudi dan Nasrani berterusan menentang Islam menerusi Peperangan Salib, serangan pemikiran dan kini penjajahan terancang di bumi umat islam. Walaupun Yahudi dan Nasrani juga mengalami konflik di antara mereka, golongan ini dapat bekerjasama menjahanamkan orang-orang Islam. Hal ini dapat dilihat dalam isu Baitul Maqdis apabila mereka secara diam-diam memperbodohkan pemimpin-pemimpin Arab supaya menerima kehadiran Yahudi di negara umat Islam itu.
Justeru itu janganlah kita mengangkat Yahudi dan Nasrani sebaagi pemimpin atau sumber ikutan kita. Firman Allah s.w.t. (bermaksud); " Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengangkat Yahudi dan Nasrani sebagai pemimpin. Sebahagian mereka menjadi pemimpin kepada sebahagian yang lain. Barangsiapa yang mengangkat mereka di antara kamu, maka ia termasuk di dalam golongan mereka." (al-Maidah: 51)

Halangan ketiga berpunca dari dunia ini sendiri yang mengganggu Rasulullah s.a.w. dalam bentuk seorang wanita yang berhias cantik. Sememangnya lambang perhiasan wanita amat relevan dengan suasana dunia yang menggoda manusia. Allah mengingatkan tentang dunia: "Bahawasanya hidup di dunia ini hanyalah gurauan, permainan, perhiasan, dan bermegah-megah di antara kamu serta berlumba-lumba memperbanyakkan harta benda dan anak pinak." (al-Hadiid: 20) Imam al-Ghazali telahmenggolongkan dunia ke dalam golongan "Aqabatul Awaa'iq" iaitu perkara-perkara yang menghalang perjalanan hamba-hamba kepada Khaliqnya. Justeru itu janganlah kita terpesona dengan dunia tetapi hendaklah menjadikannay sebagai jambatan penghubung kepada kehidupan akhirat yang kekal abadi.
Sekiranya ketiga-tiga seruan tersebut dilayan oleh Nabi, bermakna umatnya akan menjadi hamba kepada ketiga-tiga unsur tersebut. Persoalannya, dalam keadaan Rasulullah tidak menjawab itupun, umat Islam seolah-olah berda dalam kekuasaan ketiga-tiga unsur tersebut. Gejala ini dapat dilihat dari berlakunya kejadian murtad di kalangan orang-orang Islam, tunduknya umat Islam kepada Yahudi dan Barat pada hari ini, serta tertipunya umat Islam mengejar dunia yang fana sehingga sanggup mengenepikan perlaksanaan hukum-hukum Allah demi wawasan dunia. Apakah kita tidak pernah belajar daripada pengertian Isra' dan Mi'raj atau kita sememangnya tidak ingin mengambil pengajaran daripadanya?

- Wallahu A'lam.

Mimbar Al-Syumul | Pengajaran dari peristiwa Isra' dan Mi'raj | Kembali ke atas

Hakcipta 2000 © Surau Al-Syumul Bandar Rinching, Semenyih, Selangor Darul Ehsan.
All rights reserved. Site by : azezul@tm.net.my

Latest update : Friday, January 26, 2001 12:51:07 PM