BULETIN ONLINE (HOME) 

Bil 4     Mac '99

Zulkaedah/Zulhijjah 1419H

Mimbar Al-Syumul | Haji Akbar | Renungan Muslimat

MAKLUMAN

KELAS PENGAJIAN
DI SURAU AL-SYUMUL

1. Kuliah Tafsir Al-Quran
Hari Isnin (selepas solat maghrib)

2. Kuliah Aqidah
Hari Rabu (selepas solat Maghrib)

3. Kelas Tajwid
Hari Khamis (selepas solat Isya’)

4. Kelas Bahasa Arab
Hari Ahad (selepas solat Isya’)

Muslimin dan Muslimat dijemput hadir.

 

 

mekah1.gif (12391 bytes)

.

 


".....daging dan darah binatang korban yang kita sembelih tidaklah sampai kepada Nya tetapi yang sampai adalah niat dan keikhlasan kita."

 

mimbar
Assalamualaikum w.b.t.

Semoga muslimin muslimat semua berada di bawah keberkatan dan lindungan Allah s.w.t dan secara khususnya ahli kariah Surau Al-Syumul, Bandar Rinching.

mimbar.gif (6137 bytes)


Masa berlalu begitu pantas sekali, bersilih ganti bulannya dari Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan sekarang Zulhijjah. Pada tanggal 10 Zulhijjah setiap tahun satu perayaan lagi disambut oleh Muslimin, Muslimat seluruh dunia iaitu Hari Raya Aidil Adha atau Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban. Sempena dengan hari kebesaran Islam ini, Mimbar Al-Syumul cuba menyorot pandangan berhubung dengan persoalan korban dan pengorbanan dalam Islam.

Islam bangun dan tertegak kukuh hari ini adalah hasil dari titik peluh, usaha gigih dan pengorbanan yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabatnya. Mereka ini berkorban segala-galanya yang mereka miliki kerana Islam sama ada berupa masa, tenaga, anak isteri, harta sehinggalah kepada nyawa mereka sendiri. Bagi golongan muqqarabin dan siddiqin ini, nilai mata benda dunia amatlah kecil berbanding dengan janji-janji balasan yang Allah sediakan di Akhirat nanti.

Terlalu banyak riwayat-riwayat dan kisah-kisah memperihalkan jasa dan pengorbanan yang telah dilakukan oleh para sahabat besar ini demi Islam. Saidina Ali r.a yang masih dalam usia kanak-kanak sanggup menggantikan tempat tidur Rasulullah s.a.w (sekalipun dia tahu mungkin maut yang akan menimpanya di kala orang-orang Quraisy mengepung rumah baginda) sewaktu Rasulullah s.a.w mahu berhijrah ke Madinah. Saidina Abu Bakar r.a ketika berada bersama Rasulullah s.a.w di dalam Gua Thur dalam peristiwa Hijrah juga, telah digigit oleh ular dan pada waktu itu Rasulullah terlena di atas ribaannya kerana keletihan beliau tetap menahan kesakitan sehingga menitiskan air mata (tidak sanggup membangunkan Rasulullah) dan air mata tersebut gugur di atas pipi Rasulullah dan mengejutkan Rasulullah. Dua contoh di atas mengisahkan pengorbanan yang paling besar iaitu nyawa, sedangkan pengorbanan yang bersifat kebendaan, mereka mudah dan senang hati menginfakkannya ke jalan Allah.

Berbalik kepada kita kaum Muslimim, Muslimat akhir zaman ini, apakah pula pengorbanan kita kepada agama Allah ini. Cuba kita kaji dan nilai balik pengorbanan-pengorbanan yang telah kita lakukan atas nama agama Allah, sama ada yang berupa masa, tenaga, harta dan paling tinggi nyawa kita. Sekilas pandang pun kita boleh membuat penilaian bahawa, umat akhir zaman ini tidak begitu banyak pengorbanan yang dicurahkan kepada agama Allah.

Justeru itulah kita perhatikan Islam dan umatnya selalu sahaja ditimpa musibah dan kehinaan di mana-mana. Amat tragik dan memilukan apabila seekor ikan dugong mati, ramai yang menangis tetapi ratusan dan ribuan saudara Islam kita di Bosnia, Kosovo, Myanmar dan lain-lain dirogol dan disembelih oleh musuh-musuh Islam, kita tidak merasakan apa-apa. Apakah nasib yang telah menimpa umat Islam akhir zaman ini.

Akhirnya, pada Hari Raya Korban ini, Islam menuntut kita berkorban kerana Allah dan Rasulnya, kerana bagi Allah daging dan darah binatang korban yang kita sembelih tidaklah sampai kepada Nya tetapi yang sampai adalah niat dan keikhlasan kita. Dengan itu sama-samalah kita memperbetulkan tujuan amal ibadat kita. Seterusnya, kami Ahli Jawatankuasa Surau Al-Syumul mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Korban.

 Maaf Zahir Batin.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

" Tuhan mewajibkan ke atas manusia mengunjungi Rumah Suci (Baitullah Al-Haram) untuk mengerjakan haji bagi orang yang berkuasa mengadakan perjalanan kepadanya."

(Surah Al-Imran : 97)

 

hajiakbar

Mimbar Al-Syumul | Haji Akbar | Renungan Muslimat | Kembali ke atas

HAJI AKBAR

mekah3.gif (17019 bytes)

Ibadah Haji adalah satu ibadah yang penting di dalam Islam. Ianya melambangkan perpaduan dan ketaatan umat Islam kepada Allah s.w.t. Ibadah ini ditunaikan dengan penuh berdisiplin dengan melakukan 'manasik' (pekerjaan haji) nya sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t.

Ibadah Haji adalah rukun Islam yang ke lima. Dengan tertunainya ibadah ini maka sempurnalah rukun Islam yang ke lima seseorang hamba yang mukmin. Hukum menunaikan Haji buat pertama kali adalah wajib. Begitu juga dengan Umrah buat kali pertama, hukumnya wajib dan bukannya sunat sebagaimana yang difahami oleh sesetengah golongan.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Dan tunaikanlah Haji dan Umrah kerana Allah"

Ibadah Haji ini mula disyariatkan oleh Allah s.w.t pada tahun ke enam Hijrah. Di sepanjang riwayat hidup Rasulullah s.a.w bagaimana hanya sempat menunaikan fardhu Haji hanya sekali sahaja dan ianya dikenali sebagai ‘Hajjatul-Wida' yang bermaksud Haji Perpisahan.

Sebagaimana yang kita ketahui, Ibadah Haji adalah ibadah yang besar pahalanya dan amat tinggi nilainya. Oleh itu ibadah Haji dikenali juga sebagai Haji Akbar yang beerti Ibadah Haji yang agung dan besar dari segi fadhilat dan ganjarannya. Sementara itu Ibadah Umrah pula dikenali sebagai Haji Asghar iaitu Ibadah Haji yang kecil. Akan tetapi ini tidak bermakna nilai Ibadah Umrah itu kecil. Cuma fadhilatnya adalah lebih kecil sedikit jika dibandingkan dengan Ibadah haji yang Akbar itu. Walau apa jua sekalipun persoalan Akbar dan Asghar ini adalah merujuk kepada persoalan istilah sahaja. Apa yang penting dan perlu difahami ialah kedua-dua ibadah ini amat penting dan besar fadhilatnya kepada kita sebagai seorang mukmin.

Dalam menyebut persoalan Haji Akbar ialah Ibadah Haji yang jarang-jarang sekali dapat dinikmati oleh Umat Islam. Mereka beranggapan bahawa Haji Akbar terjadi apabila Hari Wukuf (9 Zulhijjah) jatuh pada hari Jumaat. Mereka berhujah bahawa hari Jumaat adalah penghulu segala hari dan pada hari ini segala amalan anak Adam akan dilipat-gandakan. Memang tidak dapat dinafikan bahawa Hari Jumaat adalah hari yang agung dalam Islam dan hari yang mana ganjaran ibadah akan dilipat-gandakan. Namun ini bukannya alasan menjadikan Ibadah haji yang mana 9 Zulhijjah(Wukuf) jatuh pada hari Jumaat adalah haji Akbar.

Jikalau beginilah alasannya mengapakah ibadah-ibadah lain seperti solat, sedekah dan zakat yang dilakukan pada hari Jumaat tidak pula dikenali sebagai Solat Akbar, sedekah Akbar atau Zakat Akbar. Inilah persoalan yang perlu kita fahami dengan betul supaya tiada lagi salah faham terhadap Haji Akbar.

Baru-baru ini terdapat desas-desus yang menyatakan Haji pada tahun ini adalah Haji Akbar kerana 9 Zulhijjah/wukuf jatuh pada hari Jumaat. Maka beruntung besarlah bagi jemaah yang menunaikan ibadah haji ini pada tahun ini. Ini tidak benar dan tidak berasas sebagaimana yang telah diterangkan kerana ibadah Haji itu sendiri yang bersifat Akbar (agung dan besar) dan bukan ianya datang pada tahun-tahun yang tertentu sahaja malahan pada tiap-tiap tahun.

Jadi perlulah difahami kesempurnaan Ibadah Haji seseorang itu terletak pada dirinya sendiri dan bukannya pada hari-hari yang tertentu. Ibadah Haji yang sempurna adalah Ibadah Haji yang dikerjakan dengan penuh khusyuk, tawadduk dan mengharapkan keampunan Allah s.w.t di samping kesempurnaan rukun-rukun dan wajibnya ditambah dan dipenuhi dengan ibadah-ibadah sunat yang lain.

Semuga para jemaah pada tahun ini dikurniakan Allah dengan Haji Mabrur.


(sambungan dari keluaran lepas .......)
PESANAN IMAM GHAZALI

Riak, takbur, bangga diri dan ego adalah penyakit hati yang perlu diubati. Antara ubat yang paling mujarab ialah :

2. Apabila berjumpa orang tua, angaplah orang tua itu lebih mulia daripada kita kerana (dengan panjang umurnya) dia lebih lama beribadat kepada Allah (berbanding dengan kita).

(bersambung ………)

 

renungan

Mimbar Al-Syumul | Haji Akbar | Renungan Muslimat | Kembali ke atas

RENUNGAN BUAT MUSLIMAT

Ada beberapa perkara yang menjadi kewajipan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t terhadap kaum wanita :

1. Berpakaian lengkap dan sempurna bagi menutup aurat.
2. Dilarang (diharamkan) berkhalwat dengan lelaki yang bukan muhrimnya.
3. Mengawal (menjaga) pandangan daripada melihat perkara yang haram.
4. Tinggal di dalam rumah (sembahyang lebih afdhal di rumah serta di dalam bilik.
5. Mengelakkan diri daripada berkelakuan yang boleh menawan dan mempesonakan kaum lelaki samada dalam tingkah laku, percakapan, mendedahkan perhiasan dan lain-lain terutama ketika berada di luar rumah.

Semua ini adalah kewajipan yang telah diwajibkan dan sempadan yang telah digariskan oleh Allah s.w.t. Ini adalah semata-mata bertujuan untuk menyelamatkan kaum lelaki daripada fitnah dan juga untuk menyelamatkan wanita sendiri daripada fitnah dan godaan kaum lelaki. Fitnah kedua-dua pihak mudah berlaku sekiranya masing-masing tidak menjaga adab-adab dan susila yang telah ditetapkan oleh syariat Islam.

Firman Allah s.w.t yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman, janganlah mereka memandang kepada yang dilarang dan hendaklah mereka menjaga (memelihara) kehormatam mereka (jangan berzina) demikian yang sebaik-baiknya bagi mereka yang mengetahui" - (An-Nur, ayat 30)

Dalam Surah An-Nur ayat 31 Allah berfirman pula kepada kaum wanita yang bermaksud :

"Katakanlah kepada para wanita yang beriman, janganlah mereka memandang kepada yang dilarang dan hendaklah mereka menjaga kehormatan (jangan berzina) dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan mereka kecuali yang zahir daripadanya. Hendaklah mereka melabuhkan kain tudung kepada mereka hingga menutup dada mereka… ." - (An-Nur, ayat 31)

Demikian dua potong ayat suci tentang peraturan pergaulan dan undang-undang pemisahan (hijab) di antara lelaki dan perempuan serta batas-batas aurat wanita. Dan banyak lagi yang terdapat di dalam Al-Quran tentang persoalan tersebut disentuh oleh Allah s.w.t.

 

Mimbar Al-Syumul | Haji Akbar | Renungan Muslimat | Kembali ke atas

Hakcipta 2000 © Surau Al-Syumul Bandar Rinching, Semenyih, Selangor Darul Ehsan.
All rights reserved. Site by : azezul@tm.net.my

Latest update : Friday, January 26, 2001 12:50:56 PM